KUCHING: Jumlah mangsa banjir di Limbang meningkat apabila seramai 195 penduduk daripada 62 keluarga hari ini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Masyarakat Mendamit.
Daripada jumlah itu, 49 adalah lelaki dan 67 wanita dewasa, 27 kanak-kanak lelaki dan 21 kanak-kanak perempuan, dua orang kelainan upaya (OKU) lelaki serta tujuh warga emas lelaki dan enam warga emas wanita manakala bayi pula seramai 16 orang iaitu 10 lelaki dan enam lagi bayi perempuan.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Limbang berkata, peningkatan itu berlaku berikutan penduduk dari satu lagi kampung turut dipindahkan.
Menurutnya, sebelum ini PPS berkenaan hanya menempatkan penduduk dari Kampung Baru Mendamit, namun semalam penduduk dari Kampung Tanjong turut dipindahkan.
“PPS Dewan Masyarakat Mendamit dibuka bermula jam 4.30 petang, Rabu lalu dan ianya dalam keadaan terkawal dengan seliaan pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) dan APM,” katanya.
Beliau berkata, beberapa kawasan di Limbang dinaiki air bermula Selasa lalu akibat hujan lebat berterusan.
“Paras air di Stesen Ukong pula kini berada pada tahap merah iaitu bahaya dan trend air pula didapati menaik,” katanya.
Justeru katanya, APM sentiasa memantau keadaan air di semua penempatan penduduk terutamanya yang berdekatan sungai.
| ARTIKEL BERKAITAN