Tumpuan :
Nasional

Banjir: Mangsa air bah di Pahang meningkat 1,375, Rompin tertinggi

Anggota APM membantu menyediakan PPS untuk mangsa banjir. – FOTO: APM

KUANTAN: Seramai 1,375 mangsa daripada 374 keluarga berada di 26 penempatan sementara (PPS) di lima daerah di Pahang iaitu Rompin, Maran, Jerantut, Pekan dan Raub setakat jam 8 pagi, hari ini.

Jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding 171 mangsa daripada 49 keluarga berada di empat PPS iaitu di Rompin dan Maran, petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, Rompin merekodkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 627 orang dan di diikuti Maran dengan 489 orang.

Jerantut dan Pekan, masing-masing merekodkan 94 dan 88 mangsa manakala Raub pula membabitkan 22 mangsa.

Sementara itu, paras air lima sungai di Pahang melepasi paras bahaya setakat jam 8 pagi ini.

Sungai terbabit ialah Sungai Sungai Pukin dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau, Keratong di Rompin.

Tiga lagi ialah Sungai Belat di Seri Damai, Kuantan; Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka, Maran; Sungai Tembeling di Kuala Tahan, Jerantut.

Bacaan air sungai melepasi paras bahaya pula di Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang di Jerantut Feri, Jerantut dan Sungai Lepar di Jambatan Gelugor, Kuantan.

Tujuh sungai pula merekodkan bacaan melepasi paras waspada iaitu Sungai Kuantan di Pasir Kemudi, Kuantan; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera; Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Tembeling di Kuala Tahan Jerantut; Sungai Semantan di Jambatan Keretapi Mentakab, Temerloh; Sungai Triang, Bera dan Sungai Kechau di Kampung Dusun, Lipis.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini