JOHOR BAHRU: Situasi terkini banjir di Batu Pahat menunjukkan tanda positif apabila lebih 1,000 mangsa banjir di daerah itu dibenarkan pulang setakat jam 4 petang tadi.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di daerah paling teruk terjejas itu kini tinggal 8,659 orang yang terdiri daripada 2,475 keluarga berbanding 10,046 orang (2,879 keluarga) pada jam 12 tengahari tadi.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata, kesemua mangsa ditempatkan di 47 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Terdapat tiga PPS telah ditutup dalam tempoh itu. Antaranya PPS Dewan Orang Ramai Taman Seri Sulong, Sekolah Kebangsaan Jenis Cina (SKJC) Tongkang Pechah dan Sekolah Kebangsaan Sri Bengkal.
“Laporan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan tanda amaran hujan lebat dan ribut petir petang ini di Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Berdasarkan laporan cuaca sebenar pula menunjukkan daerah Johor Bahru, Pontian, Segamat, Kulai, Batu Pahat dan Kluang dilaporkan hujan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mencatatkan tiga lembangan sungai di Batu Pahat masih lagi berada pada aras amaran.
“Tiga lembangan sungai itu adalah Empangan Bekok yang juga sub-lembangan Sungai Bekok dengan bacaan 19.20 meter bagi paraa bahaya berbanding 19.05 meter (paras amaran); Empangan Sembrong (Sungai Sembrong) dengan catatan aras air 12 meter berbanding 11.12 meter dan Sungai Senggarang di Senggarang dengan bacaan 3.50 meter berbanding 3.30 meter.
“Pada masa sama, lima jalan di Batu Pahat masih ditutup akibat banjir, namun dibuka untuk kenderaan berat sahaja.
“Ia membabitkan Jambatan Sri Dayung di Jalan Parit Haji Arif atau Sri Dayung; Jambatan Parit Jambi di Jalan Parit Jambi; Klinik Kesihatan Sri Medan di Jalan Haji Arif; sepanjang Jalan Parit Warijo dan Kampung Sri Bengkal, Jalan Sri Bengkal,” katanya.