KUALA LUMPUR: Jumlah penduduk terjejas akibat banjir yang melanda tujuh negeri membabitkan Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Perlis, Perak dan Selangor terus meningkat kepada 76,457 mangsa daripada 23,618 keluarga setakat jam 9.45 pagi ini.
Berdasarkan maklumat portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), sebanyak 509 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 27 daerah di seluruh negara.
Kelantan masih merekodkan angka mangsa banjir tertinggi dengan 60,008 orang yang membabitkan 18,712 keluarga yang ditempatkan di 226 PPS di 10 daerah negeri berkenaan.
Di Terengganu, seramai 12,699 mangsa banjir (3,641 keluarga) sedang berlindung di 233 PPS yang beroperasi di lapan daerah, manakala di Kedah, 33 PPS dibuka di lima daerah yang menempatkan 2,277 mangsa banjir (794 keluarga).
Di Negeri Sembilan pula, sembilan PPS sedang beroperasi di dua daerah yang menempatkan 852 mangsa (291 keluarga), manakala di Perlis 397 mangsa banjir daripada 118 keluarga di empat PPS yang membabitkan tiga daerah di negeri itu.
Di Selangor, kekal satu PPS dibuka dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 161 orang membabitkan 40 keluarga manakala di Perak membabitkan dua daerah dengan dua PPS dibuka untuk menempatkan61 mangsa daripada 20 keluarga.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir, seramai 24,955 (32.64 peratus) adalah lelaki dewasa; 26,968(34.92 peratus) perempuan dewasa; 11,592 (15.12 peratus) kanak-kanak lelaki; 11,117(14.54 peratus) kanak-kanak perempuan; 1,136 (1.49 peratus) bayi lelaki; dan 989(1.29 peratus) bayi perempuan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, 2,676 mangsa (3.5 peratus) lelaki warga emas; 3,106(4.06 peratus) wanita warga emas; 1,298 (1.7 peratus) orang kurang upaya (OKU) lelaki; dan 753 (0.98 peratus) OKU perempuan.
Ketika ini kapasiti PPS menampung jumlah mangsa adalah sebanyak 44.43 peratus berbanding kemampuan penempatan mangsa di PPS itu.