KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang menyaksikan semakin banyak kawasan ditenggelami air dan jumlah mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara, PPS juga terus meningkat kepada 21,275 orang setakat jam 8 pagi tadi.
Bagaimanapun di Negeri Sembilan, banjir telah pulih sepenuhnya dengan PPS di Sekolah Kebangsaan Sungai Machang, Lenggeng, Nilai ditutup semalam .
Di Kelantan, jumlah mangsa banjir bertambah kepada 12,645 orang daripada 3,746 keluarga berbanding 1,991 orang daripada 561 keluarga, pada pagi semalam.
Menurut portal info bencana JKM, sebanyak 83 PPS dibuka melibatkan lapan jajahan iaitu Kuala Krai, Tanah Merah , Pasir Mas , Gua Musang, Machang, Jeli, Pasir Puteh dan Kota Bharu.
Paras air empat sungai utama di negeri itu iaitu Sungai Kelantan dan Sungai Nal di Kuala Krai, Sungai Golok di Tanah Merah serta Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas berada pada tahap bahaya.
Banjir gelombang ketiga di Terengganu juga semakin teruk apabila jumlah mangsa berpindah ke 128 PPS naik mendadak kepada seramai 8,808, orang pagi tadi.
Hulu Terengganu mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 3,005 orang daripada 874 keluarga dipindahkan ke 34 PPS.
Dungun menyaksikan 1,725 mangsa ditempatkan di 25 PPS dan seramai 1,609 mangsa berada di 24 PPS di Besut.
Manakala di Kemaman, seramai 964 mangsa dipindahkan, Setiu (1,011) manakala di Marang hanya 48 mangsa berada di dua PPS.
Setakat lewat malam tadi, paras air sungai di 15 stesen utama di negeri itu sudah melepasi paras bahaya manakala lima stesen melepasi tahap amaran.
Sementara itu di Pahang, seramai 700 mangsa daripada 171 keluarga berlindung di 14 PPS.