Oleh Shahril Kadir
TAIPING : Seramai 60 penduduk dari 14 buah keluarga di dua buah kampung di sini terpaksa dipindahkan susulan kejadian banjir kilat, malam ini.
Dua kampung yang terjejas adalah Kampung Sungai Relong dan Kampung Baru Batu 5 yang terletak di mukim Taiping.
Menurut jurucakap Angkatan Pertahanan Awam, APM Taiping, mangsa dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara, PPS Kampung Sungai Relong yang mula dibuka jam 9.12 malam.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, JBPM Perak, memaklumkan banjir kilat itu menjejaskan antara 20 hingga 30 buah rumah di Kampung Batu 5, dengan paras air mencecah hampir satu meter.
“Operasi pemantauan akan dilakukan secara berkala di lokasi kejadian. Dua warga emas telah dikeluarkan oleh anggota bomba dengan menaiki kenderaan utiliti. Kebanyakan mangsa berpindah sendiri”.