SEPANG: Akibat banjir, persimpangan lampu isyarat Kiwa dari Cyberjaya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditutup buat kali kedua, petang tadi.
Justeru laluan dari Kota Warisan ke KLIA dan KLIA ke Bandar Baru Salak Tinggi berdepan kesesakan lalu lintas sejak dari jam 4 petang tadi.
Penutupan sebahagian laluan di persimpangan lampu isyarat itu susulan hujan lebat sejak jam 3 petang tadi.
Rata-rata pengguna jalan raya menyatakan laluan menghubungkan Bandar Baru Salak Tinggi, KLIA, Nilai dan Dengkil ini kerap dinaiki air jika hujan lebat.
Menurut sumber, laluan itu ditutup pada petang semalam akibat hujan lebat dan dibuka semula jam 11 pagi tadi.
Orang ramai yang ditemui menyatakan, sepanjang tahun ini kawasan itu sudah beberapa kali dilanda banjir kilat dan tiada usaha pihak bertanggungjawab untuk menanganinya.
Tinjauan mendapati, beberapa anggota polis turut berada di lokasi bagi mengawal kesesakan lalu lintas dan mengarahkan semua pengguna kenderaan dari arah Dengkil ke KLIA supaya berpatah balik susulan paras air naik mencecah setengah meter.