Tumpuan :
Nasional

Banjir kilat, kepala air, tanah runtuh boleh berlaku semasa fasa peralihan monsun – METMalaysia

Info fasa peralihan monsun – FOTO: Ihsan METMalaysia

KUALA LUMPUR: Banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, selain puting beliung antara kesan cuaca yang diramal boleh berlaku sepanjang fasa peralihan monsun yang bermula hari ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan kesan cuaca susulan peralihan antara Monsun Barat Daya dan Monsun Timur Laut itu dijangka berlarutan sehingga awal November.

Melalui satu hantaran di laman X, METMalaysia memaklumkan tiupan angin lemah dari pelbagai arah boleh berlaku sepanjang tempoh peralihan ini.

Meskipun corak cuaca bagi fasa peralihan ini menunjukkan langit cerah pada waktu pagi, katanya keadaan pada sebelah petang hingga awal malam boleh menyaksikan berlakunya ribut petir dan hujan lebat disertai angin kencang secara menyeluruh dalam tempoh singkat.

“Kejadian puting beliung dan hujan batu turut berpotensi berlaku pada tempoh peralihan ini.

“Kesan cuaca peralihan monsun ini termasuk kejadian banjir kilat, tanah runtuh, kepala air, pokok tumbang, panahan kilat serta kerosakan struktur tidak kukuh,” katanya.

METMalaysia turut menasihatkan orang ramai lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca dikeluarkan melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi hotline jabatan di talian 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini