Tumpuan :
Nasional

Banjir kilat: Beberapa lokasi di Parit Buntar dinaiki air selepas hujan lebih 4 jam

Oleh: Kumaran Rajamoney

PARIT BUNTAR: Hujan lebat lebih empat jam mengakibatkan beberapa lokasi di sekitar Parit Buntar dinaiki air.

Pekan Baru dan Pusat Bandar antara kawasan yang dinaiki air sehingga mengakibatkan perniagaan di kawasan sekitar turut terjejas.

Beberapa rakaman video yang tular menunjukkan kenderaan memilih untuk berpatah balik dari memasuki kawasan banjir, berikutan paras air yang tinggi.

Pengunjung pasar awam Parit Buntar, Muhammad Haikal Jan, 19 yang ditemui Buletin TV3 memaklumkan kedai di kawasan itu terpaksa ditutup bagi mengelak ia dinaiki air.

“Peniaga terpaksa berbuat demikian kerana setiap kali kenderaan melalui kawasan yang dinaiki air, ia menyebabkan arus yang menolak air masuk ke dalam premis mereka.”

Muhammad Haikal Jan, Pengunjung Pasar Awam Parit Buntar yang terjejas akibat air yang naik disekitar kawasan Pusat Bandar.

“Sebelum ini memang kami pernah melalui pengalaman kawasan ini dinaiki air, namun kejadian hari ini mengakibatkan beberapa kawasan baru turut terjejas,” katanya.

Banjir di Taman Seri Tenggara juga mengakibatkan pemandu kenderaan tidak mengalihkan kenderaan kerana khuatir akan memasuki kawasan yang lebih berisiko.

Air mula surut selepas hujan berhenti sekitar jam 10.30 pagi tadi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini