ALOR SETAR: Seramai 166 mangsa daripada 134 keluarga dipindahkan ke empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kedah sehingga jam 9.00 pagi tadi selepas kediaman mereka terjejas dengan banjir kilat sejak petang semalam.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Abd Aziz berkata tiga PPS yang dibuka di Baling ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bayu, SK Siong dan SK Parit Panjang.
“Antara kawasan masih terjejas Kampung Siput, Batu 8, Kampung Batu 60, Kampung Kuala Kedua dan Kampung Memali dalam Mukim Siong, Kampung Rambung Pulau, Kampung Charuk Gorok dan Kampung Charuk Salang, serta di Kampung Haji Abas,” katanya.
Selain penduduk kampung, operasi menyelamat 53 pelajar, 20 guru pengiring dan tujuh fasilitator dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bongor dan 70 pelajar dan 29 guru pengiring dari SK Seri Perdana, Kota Setar yang menjalankan aktiviti perkhemahan di Sungai Baling, dipindahkan ke lokasi selamat.
Banjir berlaku menjejaskan 31 buah rumah daripada sembilan kampung di daerah itu.
Operasi menyelamat kesemua mangsa malam tadi, dilakukan 20 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling bersama dua pegawai dengan aset lori, pacuan empat roda dan dua ambulans.
“Sehingga jam 12 tengah malam, proses pemindahan mangsa ke PPS masih lagi dilakukan bersama agensi lain, antaranya bomba dan polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Faizol berkata, hujan lebat masih berterusan menyebabkan paras air Sungai Baling meningkat dan dijangka beberapa kawasan penduduk dekat sungai boleh dimasuki air.
| ARTIKEL BERKAITAN