![](https://media.buletintv3.my/2023/08/zvF6wFyT-BULETIN-TV3-51.jpg)
GUA MUSANG: Hujan lebat selama satu jam bermula jam 4 petang tadi menyebabkan Jalan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Renok ke Felda Perasu ditenggelami air.
Susulan kejadian itu, hampir 30 penduduk yang ingin pulang ke rumah terkandas hampir dua jam.
Penduduk mendakwa mereka terpaksa melalui situasi yang sama apabila hujan lebat hingga menyebabkan air melimpah di atas jalan dan perlu menunggu sehingga air surut.
Penduduk, Siti Fatimah Abdul Talib, 37, berkata, dia bersama suami dan anak terpaksa menunggu hampir dua jam sehingga air surut sebelum dapat pulang ke rumah di Felda Perasu.
“Hujan lebat pada 4 petang sehingga 5 petang menyebabkan jalan ini ditenggelami air dan kami tidak dapat melaluinya.
“Lebih 10 kenderaan terkandas termasuk lori yang membawa muatan sawit dan kami terpaksa menunggu sehingga air surut kerana risau keselamatan diri jika meredah banjir kilat itu.
“Alhamdulillah, selepas hampir dua jam kami sekeluarga dapat meredah air dan selamat sampai di rumah. Saya difahamkan masih ada yang tidak dapat melaluinya kerana faktor kenderaan yang rendah,” katanya yang bekerja di bandar Gua Musang.
Mohd Fauzi Yahya, 40, berkata, situasi itu bukan kali pertama dilaluinya kerana setiap kali hujan lebat air pasti akan melimpah.
Katanya, walaupun ada jalan lain untuk masuk ke Felda Perasu iaitu Jalan Chiku, namun jaraknya lebih jauh berbanding jalan ini.
“Kejadian ini bukan kali pertama. Setiap kali hujan lebat, air akan melimpah di atas jalan dan merisikokan pengguna laluan ini.
“Saya harap akan ada penyelesaianya bagi menangani masalah ini yang membabitkan penduduk di Felda Perasu dan ia akan menjadi lebih serius apabila tibanya musim tengkujuh.
“Apabila berlaku kejadian seperti ini kami tidak boleh keluar dan masuk ke rumah kami di Felda Perasu,” katanya.