KUALA TERENGGANU: Kira-kira 1,500 penduduk Taman Hamparan Permai, Batu Hampar, di sini, mengalami kerugian lebih RM4 juta susulan banjir besar melanda kawasan itu, Sabtu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) taman berkenaan, Mulyadi Yatim berkata bencana itu menyaksikan semua 430 unit rumah di situ ditenggelami air sedalam lebih satu meter.
Katanya, maklumat awal mendapati punca banjir itu adalah disebabkan limpahan air dari Sungai Nerus yang letaknya kira-kira empat kilometer dari kawasan taman berkenaan.
“Banjir kali ini lebih besar dibandingkan pada 2022 dengan setiap rumah mengalami kerugian antara RM10,000 hingga RM15,000 berikutan kebanyakan barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan,” katanya ketika ditemui di lokasi pembuangan sisa banjir di Kampung Baru Hampar, di sini, hari ini.
Mulyadi berkata penduduk taman itu berharap tindakan segera dapat diambil pihak berkuasa terbabit bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang lagi selepas ini.
Katanya, ini termasuk seperti membesarkan lagi longkang dan membina benteng tambatan banjir berhampiran kawasan taman berkenaan.
Seorang enduduk, Tengku Kamaruzzaman Tengku Ali, 40, berkata, longkang dan benteng tambatan banjir perlu dinaiktaraf segera bagi mengelak banjir berulang.
Katanya, kejadian sama akan berulang setiap kali musim Monsun Timur Laut (MTL) tiba sekiranya tiada tindakan segera diambil sehingga pihak berkuasa.
“Saya mengalami kerugian lebih RM10,000 apabila semua barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan,” katanya yang mengusahakan bengkel kimpalan di Kampung Padang Machang, di sini.
Muhammad Yusof Rafie, 39, pula berkata banjir pada Sabtu lalu berlaku awal pagi ketika sebilangan besar penghuni taman sedang tidur.
“Kali ini air mula memasuki kawasan taman kira-kira jam 4 pagi secara perlahan menyebabkan penduduk tidak menyangka berlaku banjir besar sebagaimana pada 2022.
“Banjir ketika itu (2022) air naik secara mendadak…hanya beberapa jam sahaja seluruh kawasan taman dipenuhi air tetapi paras (air) tidak tinggi seperti banjir Sabtu lalu,” katanya yang mengalami kerugian kira-kira RM10,000.
Mohd Bakri Muda, 48, berkata, dia bukan saja mengalami kerugian membabitkan kerosakan dan kemusnahan barangan dalam rumah sebaliknya, tanaman timun batang yang diusahakannya di atas tanah seluas 1.8 hektar.
Katanya, sudah dua kali kebun timun yang diusahakan sejak 2017 itu ditenggelami banjir yang mengakibatkan dia kerugian puluhan ribu ringgit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.