KUALA TERENGGANU: Mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 599 orang dengan Kemaman menjadi daerah terbaharu terjejas akibat bencana itu.
Setakat jam 8 pagi, kesemua mangsa daripada 154 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Kemaman.
Malam tadi, 308 mangsa daripada 85 keluarga berada di tujuh PPS di tiga daerah.
Berdasarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, tiga PPS diaktifkan di daerah Kemaman bagi menempatkan 284 mangsa.
Kesemua mangsa daripada 68 keluarga itu ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Dewan Abd Rahman Limbong dan SK Kampung Baru Kerteh.
Di Kuala Nerus, 209 mangsa daripada 52 masih ditempatkan di dua PPS iaitu SK Tok Jembal dan SK Bukit Nanas.
PPS di SK Chendering dan SK Atas Tol di Kuala Terengganu juga masih dibuka bagi menempatkan 20 keluarga.
14 keluarga membabitkan 46 mangsa juga berada di tiga PPS di Setiu.
Ketika ini, hujan masih melanda di beberapa daerah di Terengganu.
Dua sungai direkodkan sudah melepasi paras amaran manakala dua lagi melepasi paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public InfoBanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu mencatatkan bacaan melepasi paras amaran iaitu 20.42 meter (m) dan 13.08m.
Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu yang kini berada pada paras 17.85m dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman dengan bacaan 17.7m pula sudah melepasi paras waspada.