KUALA KRAI: Sehari selepas jambatan yang runtuh siap dibaiki, lebih 500 penduduk di empat kampung seberang dekat Chenulang, kembali terkandas.
Ia apabila jambatan yang menghubungkan empat kampung iaitu Kampung Pasir Jering, Dusun Ban, Dusun Bunut dan Batu Pagar, tenggelam sejak dua hari lalu ekoran hujan lebat dan paras air Sungai Pertang meningkat.
Penghulu Mukim Chenulang, Mat Jusoh Mat Nor berkata, ada kalangan penduduk tidak sempat membeli keperluan harian kerana hujan lebat sejak pagi Sabtu.
Katanya, bukan sahaja masalah bekalan makanan, malah capaian telekomunikasi turut mengehadkan perhubungan penduduk.
“Situasi kali ini lebih teruk apabila jalan sepanjang 500 meter ke jambatan juga turut ditenggelami air namun tidak melibatkan kediaman penduduk.
“Penduduk kampung berkenaan tidak dapat menyeberangi laluan dan sekiranya berlaku kecemasan, penduduk terpaksa menggunakan motor galah untuk keluar.
“Situasi itu amat membimbangkan dan membahayakan pengguna kerana arus sangat deras,” katanya.
Dua minggu lalu, sebahagian struktur jambatan Kampung Pasir Jering, runtuh akibat banjir menyebabkan penduduk terkandas selama tujuh hari sebelum jambatan itu siap dibaiki.