comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Kelantan, bomba bantu murid dan ibu bapa terkandas 

FOTO: Ihsan Bomba

KUALA KRAI: 20 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Chenulang dan SK Sungai Embak serta enam ibu bapa terkandas selepas jalan utama ke rumah mereka ditenggelami air banjir sedalam 0.7 meter susulan limpahan air Sungai Chenulang, di sini hari ini.

Menurut Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Durian, Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Juniman Junoh pihaknya menerima panggilan daripada salah seorang mangsa yang memaklumkan jalan utama sepanjang 500 meter yang menghubungkan Kampung Pasir Jering dinaiki air susulan hujan berterusan.

Katanya, seramai lapan anggota daripada BBP Sungai Durian bergegas ke lokasi kejadian untuk membantu kesemua mereka pulang ke rumah menaiki bot dengan mengharungi arus sungai sejauh dua kilometer sebelum sampai ke tebing.

“Saya dimaklumkan ketika menghantar anak mereka ke sekolah pada sebelah pagi, jalan utama masih belum ditenggelami air, namun sekitar jam 11 tengah hari tadi ia jalan berkenaan mula ditenggelami air dan tidak boleh dilalui oleh semua kenderaan.

“Kebanyakan ibu bapa mengambil anak mereka pulang lebih awal dari sekolah kerana bimbang paras air semakin meningkat, tetapi sebaliknya berlaku apabila mereka terkandas dan terpaksa meminta bantuan daripada pihak bomba,” katanya.

Katanya, ketika operasi berkenaan, keadaan arus sungai sangat deras selain trend air juga semakin meningkat.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.50 petang,” katanya.

 

Loading...
Terkini