ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus meningkat kepada 701 orang daripada 201 keluarga yang ditempatkan di tujuh Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga daerah di negeri ini.
Jumlah ini direkodkan pada jam 8 malam hari ini berbanding 603 mangsa daripada 174 keluarga yang dicatatkan pada jam 5 petang tadi.
Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, satu lagi PPS dibuka di Maahad Tarbiyah Derang di Pokok Sena pada jam 12.30 tengah hari tadi.
Beliau berkata, PPS itu menempatkan seramai 100 mangsa daripada 26 keluarga yang terjejas banjir kilat.
“Setakat ini, empat PPS daerah Kubang Pasu masih beroperasi iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Malau menempatkan seramai 32 mangsa daripada lapan keluarga, PPS Dewan PPK Lubuk Batu (47 mangsa daripada 17 keluarga), PPS Dewan Kampung Tradisi (22 mangsa daripada tujuh keluarga.
“PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun pula menempatkan 105 mangsa daripada 30 keluarga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Suhaimi berkata, PPS di SK Taman Aman di daerah Kota Setar pula masih kekal kepada 98 mangsa daripada 31 keluarga, manakala PPS di SK Bukit Hijau juga kekal kepada 297 mangsa daripada 82 keluarga.