comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: Jumlah mangsa di Kedah, Perlis berkurang petang ini

Pemilik bengkel membaiki mesin rumput, Lim Chai Huat, 68, melihat sebahagian mesin dan alat ganti yang terendam dalam air berikutan banjir yang melanda baru-baru ini ketika tinjauan di Jejawi,Arau.-Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis mencatatkan penurunan petang ini berbanding pagi tadi, manakala bilangan mangsa di Perak dan Johor kekal.

Di Kedah, jumlah mangsa banjir berkurangan kepada 3,390 orang setakat 4 petang ini, berbanding 3,655 orang pagi tadi dan semuanya ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara (PPS) membabitkan empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena serta Pendang.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 1,699 orang, diikuti Kubang Pasu (613), Pokok Sena (563) dan Pendang (515).

Di Perlis, Pengarah APM Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata jumlah mangsa banjir di negeri itu berkurang daripada 519 orang pagi tadi kepada 146 petang ini dan semuanya ditempatkan di dua PPS masing-masing satu di daerah Kangar dan Arau.

Beliau berkata PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Gajah, Arau dan Kolej Vokasional Kangar, Kangar ditutup 12.40 tengah hari tadi.

Di Perak, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan jumlah mangsa banjir di daerah Kerian kekal 136 orang dan semuanya ditempatkan di dua PPS.

Sementara itu, Pengerusi JPBN Tan Sri Dr Azmi Rohani memaklumkan jumlah mangsa banjir di JOHOR kekal 17 orang seperti pagi tadi dan mereka ditempatkan di PPS SK Seri Bunut, Batu Pahat.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi kenyataan petang ini mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di lapan negeri hingga 7 petang ini.

MetMalaysia menyatakan, cuaca itu diramal melanda Kelantan (Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang dan Pasir Puteh), Terengganu dan Pahang (Kuantan).

Keadaan sama juga diramal di Putrajaya dan Selangor membabitkan Kuala Langat dan Sepang serta Johor (Segamat, Muar, Batu Pahat, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).

Turut diramal mengalami cuaca buruk adalah Sarawak membabitkan Kuching, Serian, Samarahan dan Betong (Pusa dan Betong) dan di pedalaman Sabah (Kuala Penyu dan Beaufort), Pantai Barat (Papar, Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu), Tawau serta Sandakan. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini