comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir Johor: Klinik Kesihatan Chaah musnah, 24 fasiliti kesihatan terjejas

Petugas Klinik Kesihatan Chaah, memeriksa ubatan yang ditenggelami bah besar yang menenggelamkan pekan Chaah, minggu lalu – FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Klinik Kesihatan Chaah, di Segamat, musnah sepenuhnya selepas ditenggelami bencana banjir besar, minggu lalu.

Pengerusi Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon, berkata banjir yang melanda turut merosakkan semua peralatan di klinik kesihatan.

Katanya, sebuah klinik kesihatan sementara kini beroperasi di Balai Raya Chaah, bagi memberi rawatan kepada mangsa banjir dan penduduk setempat, dengan peralatan dan ubatan disalurkan daripada klinik kesihatan serta hospitan berhampiran.

“Sebanyak 24 fasiliti kesihatan membabitkan klinik kesihatan dan klinik desa di Johor terjejas akibat banjir yang berlaku sejak minggu lalu.

“Paling terjejas adalah Klinik Kesihatan Chaah di Segamat yang musnah dengan kesemua peralatan kesihatan rosak dengan operasi klinik dipindahkan ke Balai Raya pekan itu.

“Setakat ini, klinik kesihatan yang masih terjejas dan ditenggelami banjir ialah Klinik Kesihatan Sri Gading, Batu Pahat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis pelepasan Sounthern Volunteers, sukarelawan dan agensi kerajaan sempena konvoi pasca banjir Johor di Dataran Mahkota Kota Iskandar, di sini, hari ini.

Pelancaran majlis itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak 18 fasiliti kesihatan terjejas di Johor akibat banjir besar dengan paling banyak membabitkan 12 klinik kesihatan di daerah Segamat.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, dilaporkan berkata selain Segamat, beberapa fasiliti kesihatan di daerah lain turut terjejas iaitu tiga di Tangkak, Batu Pahat (dua) dan satu di Kota Tinggi.

Katanya, secara keseluruhan, ia membabitkan 13 klinik desa, empat klinik kesihatan serta sebuah klinik pergigian.

Dalam pada itu, Tian Soon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng berkata, keadaan banjir yang semakin pulih di beberapa kawasan, membolehkan sebahagian besar klinik kesihatan yang terjejas beroperasi semula.

Loading...
Terkini