Oleh: Zahir Senapiah
KOTA TINGGI: 16 daripada 21 Pusat Pemindahan sementara (PPS) di daerah ini ditutup petang tadi selepas banjir semakin surut.
Arahan penutupan dibuat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah berkuatkuasa jam 2 petang tadi.
Antara PPS yang ditutup termasuklah Dewan Muafakat Pasak Indah, PPS Tun Syed Nasir, SJKC New Kota, SK Laksamana, PPS SRAB, SJKC Mawai, Dewan Kota Kecil, SK Taman Kota Jaya, SMK Taman Kota Jaya, Sekolah agama Taman Kota Jaya, Dewan Seri Delima, SK Bukit Lintang, Sekolah Agama Bukit Lintang, Dewan Arena Segitiga, SJKT Jalan Tajul dan SK Gembut.
Baki 5 PPS lagi masih beropersi yang menempatkan 529 mangsa dari 159 keluarga dari 11 buah kampung yang banjir belum surut sepenuhnya.
Jika keadaan banjir pulih sepenuhnya mereka juga akan diarah mengosongkan PPS berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semua mangsa terjejas banjir telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Mereka dinasihatkan berhati-hati ketika membersihkan kediaman masing-masing dan sentiasa berwaspada dengan sebarang kemungkinan terutama ancaman binatang liar yang mungkin berada dalam kawasan rumah.
Menurut bilik gerakan pengurusan banjir negeri, hingga jam 4 petang tadi sebanyak 14 buah PPS masih dibuka di 6 daerah dengan jumlah mangsa seramai 1,515 orang dari 450 keluarga.
Jumlah itu menurun jika dibandingkan pagi tadi dengan 17 PPS yang menempatkan 1,938 mangsa daripada 570 keluarga.