comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir: JKR Johor aktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana, siap sedia bantuan dan penyaluran maklumat

Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah disediakan oleh pihak Konsesi Persekutuan dan negeri untuk membantu kawalan trafik di lokasi yang terjejas. – FOTO JKR Johor / Facebook

KUALA LUMPUR: Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor mengaktifkan dengan serta merta Pusat Kawalan Operasi Bencana bermula jam 8.00 pagi, hari ini.

Kementerian Kerja Raya (KKR) berkata, JKR negeri dan daerah juga sentiasa bersiapsedia membantu orang awam dalam penyaluran maklumat terkini dan pertanyaan berkaitan dengan penutupan jalan.

Katanya, setiap pelaporan terkini kejadian bencana di setiap daerah yang terjejas akan dikemaskini setiap empat jam.

“Pelaporan akan dikemaskini di laman rasmi Pengurusan Bencana JKR Malaysia (e-Bencana).

Dalam pada itu, JKR Johor bersama syarikat konsesi kini bersiap sedia menggerakkan aset dan jenteranya di laluan yang dinaiki air sebagai persediaan sekiranya berlaku kecemasan ekoran amaran hujan berterusan di negeri itu.

Pelan Pengurusan Trafik (TMP) sudah disediakan oleh pihak Konsesi Persekutuan dan negeri untuk membantu kawalan trafik di lokasi yang terjejas.

Peruntukan sebanyak RM250,000 disediakan bagi daerah yang masih dalam proses perlantikan konsesi negeri iaitu Daerah Kluang, Batu Pahat, Segamat, Muar dan Tangkak.

“Peruntukan itu disalurkan serta-merta bagi kegunaan Jurutera Daerah (JD) mengikut keperluan mendesak berikutan keadaan banjir yang berlaku pada masa kini di Johor,” katanya

Katanya, pada masa yang sama, pemantauan paras air naik dan turun turut dilaksana bagi memastikan jalan atau laluan berkenaan boleh dibuka kepada orang awam atau sebaliknya.

“JKR sentiasa bersiapsiaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan antaranya mempersiapkan pasukan bailey bridge serta aset jabatan.

“Pihak JKR Kota Tinggi juga turut bersama-sama membantu membawa pelajar yang sedang menduduki peperiksaan SPM dan juga membawa pesakit ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini