PENGKALAN CHEPA: Lebih 70 penembak remaja di Kelantan terpaksa menghentikan sementara semua bentuk latihan ekoran lapang sasar Kemumin di Pengkalan Chepa dilanda banjir.
Lebih memburukkan keadaan ia semakin menjejaskan fasiliti lapang sasar itu yang sudahpun uzur dan rosak sebelum ini.
Menurut jurulatih program menembak dan teknikal sukan menembak negeri Kelantan, Mohd Imran Zakaria, selain dilanda banjir, hujan lebat musim tengkujuh juga menjejaskan salah satu bumbung dewan utama yang menyebabkan kebocoran.
Katanya ia menyebabkan bekalan elektrik terpaksa dimatikan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
“Saya harapkan pihak berkenaan dapat cepat baiki bagi tidak menganggu latihan atlet kita sekarang ini sudah seramai 75 orang dikategorikan sedia SUKMA 2028 dan grup pelapis berbakat”.
Tambah Imran lagi, jika tiada pihak mengambil tanggungjawab, ia akan menjejaskan persiapan barisan penembak remaja Kelantan sekurang-kurangnya hingga musim tengkujuh berakhir Mac tahun depan.
Ini bermakna negeri itu tidak akan dapat menghantar pasukan ke kejohanan menembak remaja kebangsaan di Subang, Selangor pada Februari dan Mei tahun depan.
Selain terpaksa melupakan hasrat ke SUKMA di Kuching, Sarawak pada Ogos 2024.