Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir: Iboi suram, penduduk buntu hadapi pasca banjir

 

Oleh: Kumaran Rajamoney

BALING: Genap setahun berhadapan tragedi banjir aliran puing (kepala air) yang mengorbankan tiga nyawa, penduduk di Kampung Iboi di sini terpaksa berhadapan banjir besar yang terus membimbangkan mereka.

Apatah lagi, kejadian banjir kali ini melibatkan laluan air yang baharu dan menenggelamkan rumah pada paras ketinggian lebih satu meter.

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain menjelaskan kejadian berlaku dalam tempoh singkat, selepas hujan lebat sejak jam 4 petang pada Rabu.

Aliran air di beberapa kawasan baharu menurun bukit katanya menyebabkan ada rumah yang sebelum ini tidak terkesan dengan banjir turut tenggelam.

“Sekurang-kurangnya 7 buah rumah terkesan dengan laluan air yang baharu ini. Parit yang ada di kawasan itu tidak mampu menampung aliran arus air yang tinggi dan deras mengakibatkan limpahan di kawasan jalan.”

“Kalau keadaan ini berterusan maka penduduk di sini terpaksa berhadapan dengan musibah sama setiap kali hujan lebat. Maka, mereka akan hidup dalam ketakutan,” katanya.

Kejadian itu juga telah mengakibatkan sistem air masyarakat rosak, sekaligus memutuskan bekalan kepada penduduk.

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi, Malik Arshad

Pengerusi Bekalan Air Masyarakat Kampung Iboi Malik Arshad berkata, pembaikan yang dilakukan memerlukan kos yang tinggi.

“Buat masa ini, pihak kami menggunakan semua barangan sedia ada dan terpakai untuk menyambung semula perkhidmatan air. Namun, ini hanya penyelesaian jangka masa pendek untuk memudahkan pembersihan rumah dilakukan segera.”

“Dalam keadaan Syarikat Air Darulaman (SADA) tidak mampu menyediakan perkhidmatan yang sempurna, kami perlu menyegerakan pembaikan dengan sistem yang lebih baik bagi memastikan bekalan air yang lebih stabil dapat disalurkan kepada penduduk,” tambanya.

Dalam pada itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Baling, Mohd Faizol Ab Aziz memaklumkan pihaknya akan memulakan proses pembersihan rumah menggunakan khidmat sukarelawan menggunakan sumber air lain.

“Setakat ini kita gunakan lori tanker bomba, pihak Majlis Daerah Baling dan juga kemudahan pam air yang kita sedut daripada sungai untuk mencuci di sekitar rumah.”

“Kita akan pastikan semua kawasan yang terlibat sudah dibersihkan sebelum kita membenarkan penduduk pulang ke rumah.”

Untuk rekod, seramai 579 mangsa masih ditempatkan di 4 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Baling setakat ini.

Loading...
Terkini