Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
HULU TERENGGANU: Hujan lebat melanda daerah Hulu Terengganu sejak semalam menyebabkan beberapa kampung digenangi air.
Setakat jam 6.00 petang tadi, tiga kampung dilaporkan terjejas membabitkan Kampung Lubok Periuk, Kampung Peneh dan Kampung Kua.
Seramai 20 mangsa membabitkan 5 keluarga dari Kampung Lubok Periuk kini menumpang teduh di balai raya yang dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Manakala 28 mangsa membabitkan 10 keluarga dari Kampung Peneh kini juga ditempatkan di balai raya kampung berkenaan.
Difahamkan ketika ini penduduk Kampung Kua bersiap sedia berpindah kerana air mula naik di kampung itu.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu menasihatkan penduduk yang tinggal di kawasan berisiko untuk segera berpindah jika diarah berbuat demikian.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat bahaya sehingga 31 Disember.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.