Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Banjir: Gelombang ketiga dijangka landa Terengganu Jumaat ini

 

 

KUALA TERENGGANU: Terengganu diramal mengalami hujan lebat serta angin kencang yang dikhuatiri menyebabkan banjir gelombang ketiga bermula pada 22 hingga 26 Disember ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil  berkata,
pihaknya dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi (MetMalaysia), ia susulan serangan ribut tropika Jelawat di Tenggara Filipina.

“Sekiranya terdapat kesan daripada ribut tropika Jelawat, kita mungkin akan menghadapi hujan yang berat (lebat) dan kemuncaknya pada 24 dan 25 Disember ini.

Foto: NSTP

“Ini baharu ramalan yang dikeluarkan MetMalaysia, namun dalam masa sama kita sentiasa bersiap siaga dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL),” katanya pada majlis penyampaian bantuan banjir Yayasan PETRONAS di sebuah hotel di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tengku Farok Hussin berkata pihaknya dimaklumkan hujan lebat akan melanda seluruh negeri ini membabitkan kawasan pesisir pantai.

“Malah, kita juga memberi arahan kepada semua pengerusi bencana daerah supaya memberi tumpuan di kawasan masing-masing terutama kawasan ‘hotspot’.

“Mengikut ramalan yang dikeluarkan hujan lebat dan angin kencang ini membabitkan daerah Besut hingga Kemaman disusuli turut berlaku di kawasan pendalaman,” katanya.

Gelombang pertama banjir pada 20 November lalu menyebabkan semua daerah mengaktifkan PPS kecuali Hulu Terengganu.

Pada Khamis lalu, banjir gelombang kedua pula melanda dengan Hulu Terengganu menjadi daerah pertama membuka PPS diikuti Setiu, Kemaman, Dungun, Besut dan Marang manakala Kuala Terengganu dan Kuala Nerus tidak berlaku banjir.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini