Tumpuan :
Nasional

Banjir di Terengganu semakin baik, Besut daerah pertama pulih

KUALA TERENGGANU: Situasi banjir di Terengganu semakin baik dengan 14,294 mangsa daripada 3,580 keluarga dilaporkan terjejas setakat 8 pagi.

Kesemua mereka ditempatkan di 59 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah, kecuali Besut yang pulih sepenuhnya daripada banjir semalam.

Besut yang sebelum ini merekodkan jumlah mangsa teramai menjadi daerah pertama pulih sepenuhnya.

Ia selepas tiga PPS di daerah itu yang sebelum ini menempatkan 315 mangsa daripada 66 keluarga ditutup secara berperingkat selepas kesemua mangsa dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, Kuala Nerus merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu seramai 6,366 mangsa daripada 1,665 keluarga di 15 PPS, diikuti Dungun yang mencatatkan seramai 4,594 mangsa daripada 1,111 keluarga di 20 PPS.

Sebanyak sembilan PPS dibuka di Kuala Terengganu bagi menempatkan 2,511 mangsa daripada 608 keluarga, manakala di Hulu Terengganu, 466 mangsa (121 keluarga) di tujuh PPS.

Di Marang, 186 mangsa daripada 43 keluarga berada di tiga PPS, dan seramai 158 mangsa (28 keluarga) di Setiu di empat PPS di daerah berkenaan.

Kemaman merekodkan jumlah mangsa terendah iaitu seramai 13 mangsa daripada empat keluarga yang berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan Kampung Baru Kerteh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini