Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
KUALA NERUS: Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dinaiki air.
Antara kawasan yang terjejas, Taman Permai Murni di Tok Jembal, Kuala Nerus.
Masalah longkang tersumbat dan sistem perparitan tidak teratur antar punca taman perumahan itu dinaiki air bermula jam 4.00 pagi tadi.
Hujan lebat berterusan sejak dua hari lalu menyebabkan beberapa kawasan di Kuala Nerus dan Kuala Terengganu dinaiki air. pic.twitter.com/iC6kWrxnjL
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) November 20, 2023
Penduduk yang terjejas di tempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Tok Jembal yang dibuka jam 7.00 pagi.
Manakala PPS kedua yang dibuka ialah di Dewan Flat Batin Perdana jam 9.00 pagi.
Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JBPD) ketika ini sedang mengemaskini jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS itu.
Menurut, Sekretariat JBPD Kuala Nerus, Kepten Pertahanan Awam (PA) Azulkarnain Awang, operasi membantu mangsa banjir sedang giat dilakukan.
Susulan banjir yang melanda Kuala Terengganu, 3 buah sekolah iaitu SK Seri Budiman, SK Losong, dan SK Chendering ditutup akibat dinaiki air dari limpahan air longkang berhampiran.
Perkara itu disahkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT).