Tumpuan :
Bencana

Banjir di Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam makin buruk

FOTO: NSTP

BATU PAHAT: Banjir di Sri Gading, Parit Raja, dan Ayer Hitam, di sini, semakin buruk apabila 16 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka ditenggelami air bah, sejak semalam.

Pegawai Daerah Batu Pahat, Nasri Md Ali berkata, keadaan banjir di kawasan terbabit dijangka akan lebih buruk susulan laporan teknikal dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)

Nasri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Batu Pahat berkata, ia susulan fenomena air pasang besar yang melanda sehingga Ahad ini.

Katanya, 16 PPS yang ditenggelami bah adalah PPS Parit Jambol Laut, Parit Sempadan Laut, SK Sri Yong Peng, SK Seri Utama, SJKC Sulong, Parit Sulong, SK Seri Comel dan SK Seri Sejati.

Turut dinaiki bah adalah PPS Sekolah Agama Kampung Jawa, SK Parit Ju, SK Seri Tanjon, Sekolah Agama Seri Comel, Dewan Terbuka Sri Medan, Masjid Kampung Selulun, SK Bindu dan SK Tanjung Sembrong.

“Apa yang jadi kerisauan kita di kawasan Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam adalah PPS sedia ada sudah 16 terpaksa ditutup kerana ditenggelami air bah dengan ratusan mangsa perlu dipindahkan ke kawasan selamat lain.

“Kita tidak pernah hadapi keadaan PPS ditutup dalam bencana sebelum ini. Sebenarnya ia beri kesan pada pengurusan PPS, kerana memerlukan lokasi pemindahan baru dengan segera.

“Dalam tempoh lima hari ini, kita dijangkakan lebih banyak kawasan kampung di tiga lokasi itu akan dinaiki air bah dengan lebih 1,000 keluarga akan dipindahkan.

“Ketika ini paras air bah dalam trend menaik lagi jadi kita jangkakan keadaan banjir di Sri Gading, Parit Raja dan Ayer Hitam akan jadi lebih buruk. Apabila trend paras menaik berhenti ia akan mengakibatkan banjir termenung pula dijangka sehingga awal Ramadan ini, berikutan bah tidak surut walaupun cuaca panas ketika ini” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Kolej Kediaman Perwira Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Parit Sempadan Laut, Parit Raja, hari ini.

Dalam pada itu, Nasri berkata, berikutan 15 PPS dibuka kini ditenggelami air, mangsa banjir kini terpaksa dipindahkan ke kolej komuniti dan kolej kediaman UTHM.

Katanya, keputusan segera dibuat bagi memindahkan lebih 1,000 mangsa terjejas ke lokasi PPS yang baharu membabitkan Kolej Kediaman Perwira UTHM.

“Dalam tempoh tiga hari ini, pelan tindakan operasi penyelamatan pelan tindakan penempatan PPS sudah dirangka dan kita bersedia terhadap kemungkinan banjir semakin buruk.

“Apabila kenaikan paras air bah naik mendadak dan secara tiba-tiba, kita sudah ada pelan menyelamat dan pelan PPS baharu untuk segera dibuka,” katanya.

Nasri turut menjunjung kasih terhadap keprihatinan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang menitahkan supaya masjid dan surau di daerah ini dijadikan PPS.

“Terdapat 11 masjid dan surau di daerah ini diluluskan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan diperkenankan Sultan Ibrahim sebagai PPS, berikutab sejak hari pertama bah kita alami kesulitan untuk sediakan PPS segera.

“Namun terdapat juga 30 masjid dan surau di daerah ini yang terjejas akan ditenggelami bah” katanya.

Loading...
Terkini