KUCHING: Situasi banjir di Sarawak makin buruk dengan jumlah penduduk yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sarawak terus meningkat apabila mencecah seramai 13,121 orang daripada 3,827 keluarga sehingga jam 12 tengah hari ini.
Daripada jumlah itu, seramai 12,914 orang daripada 3,777 keluarga adalah mangsa banjir yang menghuni 62 PPS.
Seramai 169 daripada 39 keluarga lagi adalah mangsa tanah runtuh yang kini berlindung di tiga PPS manakala 37 daripada sembilan keluarga pula adalah mangsa kebakaran rumah panjang yang kini menghuni satu PPS.
Daripada 63 PPS yang aktif, Serian mencatat jumlah terbanyak dengan 19 PPS; Samarahan (14); Miri (10); Bintulu (sembilan); Sibu (enam) dan Mukah (satu).
Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, pihak berkuasa kini sedang bertungkus lumus bagi memastikan semua mangsa selamat dan mendapat perlindungan sewajarnya.
Beliau mengakui ada mangsa yang enggan berpindah ke PPS dan menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk memujuk mereka.
“Saya berharap pihak berkuasa terutama mereka yang berada dalam jawatankuasa bencana, supaya memastikan bahawa semua mangsa selamat.
“Jika ada yang tidak mahu berpindah ke PPS, cuba pujuk mereka,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran ‘Down Hope: Transit Gadis Yang Memerlukan’ di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video sekumpulan mangsa banjir tinggal di bawah jejambat Lebuhraya Pan Borneo di Bintulu yang tular di media sosial sejak semalam.
Menurutnya lagi, perlu diketahui apa alasan mereka tidak berpindah ke PPS sebaliknya memilih untuk tinggal di bawah jejambat itu.
“Saya berharap mereka mahu berpindah ke PPS yang dijamin keselamatannya,” katanya.