Tumpuan :
Nasional

Banjir di Sabah, Sarawak beransur pulih, fokus pemulihan pasca banjir – TPM

KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Sabah dan Sarawak beransur pulih dengan penurunan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS), namun tindakan waspada masih perlu diambil.

Dalam kenyataan di Facebook hari ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) boleh memulakan usaha untuk menyusun atur gerak bagi kerja-kerja pasca banjir.

Katanya, ini termasuk usaha pembaikan yang membabitkan koordinasi dan tindakan pelbagai agensi kerajaan bagi mempercepatkan pemulihan, terutamanya infrastruktur di kawasan yang terjejas.

“Ini bagi memastikan keadaan kerosakan yang terjadi akibat banjir berkenaan tidak mengancam keselamatan dan memberi gangguan kepada penduduk dalam tempoh yang lama,” katanya.

Tambah Zahid, dalam kemaskini setakat tengahari ini, sebahagian besar daerah terjejas di Sarawak sudah menunjukkan angka penurunan mangsa banjirnya, kecuali di daerah Beluru, dimana berlaku peningkatan bagi kemasukan mangsa terjejas ke PPS.

“Setakat laporan yang dikeluarkan pada jam 12 tengah hari ini, hanya terdapat 1,970 keluarga melibatkan 6,269 mangsa yang masih berlindung di 28 PPS berbanding 9,296 mangsa melibatkan 2,742 keluarga pada minggu lalu.

“Di bahagian Bintulu, mencatatkan mangsa tertinggi iaitu 3,011 orang yang berlindung di empat PPS. Sementara di Sabah, terdapat empat daerah masih dilanda banjir setakat tengah hari ini melibatkan 298 keluarga dan 963 mangsa yang berlindung di enam PPS,” katanya.

Bagaimanapun, katanya terdapat satu PPS dibuka pagi ini bagi menempatkan 160 mangsa dari 53 buah keluarga di daerah Membakut, berbanding hanya tiga daerah iaitu Beaufort, Kinabatangan dan Tambunan setakat semalam.

“Biarpun situasi kelihatan sudah reda, saya ingin mengingatkan semua pihak kemungkinan berlakunya luruan yang membawa hujan lebat masih ada, memandangkan Monsun Timur Laut dijangka akan tamat pada Mac.

“Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pada jam 11.45 pagi ini turut mengeluarkan amaran ribut petir di beberapa tempat di Sarawak iaitu di Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang yang dijangka sehingga 3 petang ini. Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dan peka dengan keadaan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berpuas hati dengan keseluruhan pengurusan bencana di Malaysia Timur setakat ini dan menzahirkan terima kasih semua pihak yang membantu mangsa banjir serta menghulurkan bantuan dan sumbangan dalam pelbagai bentuk bagi meringankan beban mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini