comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Pulau Pinang, Perlis pulih, semua PPS ditutup sepenuhnya

Keadaan banjir di Kampung Warna Warni, Kuala Perlis, pada Khamis lalu. – FOTO: NSTP

TASEK GELUGOR: Pulau Pinang pulih sepenuhnya daripada banjir selepas penutupan lima pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir, menempatkan 259 orang pagi tadi.

Keadaan cuaca yang baik dan cerah tanpa hujan sejak semalam, menyebabkan banjir yang melanda rumah penduduk sejak Selasa lalu, surut sepenuhnya hari ini.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pulau Pinang, semua mangsa dari 72 keluarga yang ditempatkan di lima PPS di daerah Seberang Perai Utara (SPU), Seberang Perai Tengah (SPT), dan Seberang Perai Selatan (SPS) dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Pemeriksaan dan pemantauan oleh pihak berkuasa mendapati banjir surut dan keadaan di tiga daerah tersebut pulih sepenuhnya. Mangsa dibenarkan pulang ke rumah pagi tadi,” menurut laporan itu.

Sehubungan itu, tiga PPS di SPU—Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Menora, SK Lahar Yooi, dan Pusat Penempatan Banjir Labuh Banting—serta satu PPS di SPT (Sekolah Rendah Islam Maahad At Tarbiah Guar Jering) dan SPS (Dewan MPKK Sanglang) ditutup secara berperingkat sejak pagi tadi.

Sejak Selasa lalu, lebih 700 mangsa banjir di tiga daerah di Pulau Pinang dipindahkan ke 11 PPS di negeri itu selepas rumah mereka dinaiki air berikutan hujan lebat dan angin kuat, malah puluhan rumah rosak manakala ratusan pokok tumbang dalam kejadian angin kuat tersebut.

Di Kangar, banjir di Perlis pulih apabila tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan Kangar dan Arau yang menempatkan 90 mangsa banjir setakat jam 8 pagi tadi ditutup sepenuhnya pada 12 tengah tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, semua mangsa itu dibenarkan pulang ke rumah masing-masing berikutan air di kawasan kediaman mereka surut sepenuhnya.

“PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sena di Kangar manakala PPS SK Dato Ahmad Musa dan SK Kubang Gajah bagi kawasan Arau ditutup sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, antara kampung terbabit ialah Kampung Sungai Padang dan Kampung Kubang Gajah bagi kawasan Arau manakala Kampung Tok Kandang, Kampung Bakau, Kampung Sena dan Kampung Seberang Tambang di Kangar.

Untuk rekod, di Perlis dua PPS mula diaktifkan pada 17 September lalu membabitkan PPS SK Sena dibuka pada jam 10.50 malam manakala PPS SK Arau dibuka pada jam 11.55 malam sebelum PPS SK Arau ini ditutup Khamis lalu. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini