comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Pahang beransur pulih

Oleh: Fazli Ahmad

KUANTAN: Semua agensi terlibat dengan pengurusan bencana banjir di Pahang terus bersiap siaga walapun keadaan banjir yang melanda negeri itu sejak empat hari lalu semakin pulih.

Pengarah APM Pahang Kol. (PA) Che Adam A Rahman, berkata hingga jam lapan malam ini, hanya 120 mangsa masih ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah.

Menurutnya, semua PPS di Lipis, Kuantan dan Jerantut ditutup sepenuhnya jam 4 petang tadi selepas keseluruhan mangsa dibenarkan pulang setelah banjir di daerah itu pulih.

Katanya, hingga kini 40 mangsa ditempatkan di PPS daerah Temerloh, Bera (46 mangsa) dan Maran (34 mangsa).

“Secara keseluruhan cuaca di Pahang hari ini baik kecuali hujan renyai di satu dua tempat,”

“Implikasi semasa ada mangsa dipindahkan kerana paras aliran Sungai Pahang sepanjang 459 kilometer dari hulu ke hilir masih tinggi di beberapa daerah,

“Walaupun banjir semakin pulih namun pemantauan diteruskan bagi menghadapi pelbagai kemungkinan.” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Che Adam berkata, semua ibu bapa dinasihatkan terus memantau dan memastikan anak masing-masing tidak bermain di tebing sungai, tasik atau kawasan berisiko bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Sesi persekolahan akan dibuka minggu depan, jadi pastikan setiap ibu bapa terus memantau anak masing-masing meningkatkan pemantau terhadap anak masing-masing kerana keadaan cuaca semasa.” katanya.

Hingga jam 8 malam ini, empat stesen penyukat banjir Sungai Pahang di Daerah Maran dan Pekan masih melepasi tahap bahaya dan trend menaik.

Bacaan di Stesen penyukat banjir di Lubok Paku, Maran ialah 19.2 meter dan Sungai Luit di Kg. Subuh (28.42 meter).

Manakala di Pekan membabitkan stesen penyukat banjir di Kuala Sungai Chini (17.11 meter) dan Paloh Hinai (11.31 meter).

Dua stesen penyukat banjir di Rompin turut melepasi tahap bahaya iaitu Sungai Keratong di Jalan Kota Bahagia (12.25 meter) dan  Sungai Rompin di Jambatan Kuantan/Segamat, di Rompin (10.63 meter).

Loading...
Terkini