JOHOR BAHRU: Banjir di Kluang pulih sepenuhnya apabila dua pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di daerah itu ditutup jam 10 pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, PPS di Dewan Serbaguna Kahang dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kahang itu ditutup selepas 213 mangsa daripada 68 keluarga dibenarkan pulang ke rumah.
“Sehingga jam 10 pagi ini, hanya Pontian yang masih merekodkan mangsa banjir iaitu seramai 17 orang daripada empat keluarga di sebuah PPS,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana daerah di negeri ini, namun terdapat amaran hujan berterusan tahap waspada di Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka pada esok hingga Ahad ini.
Pada masa sama, tiada sungai yang dilaporkan pada paras bahaya, namun Sungai Kahang yang juga sub lembangan Sungai Endau di Kluang mencatatkan paras bacaan air sungai di tahap amaran dengan bacaan 14.17 meter.
Setakat jam 10 pagi tadi, hanya Segamat dan Johor Bahru dilaporkan mendung, manakala semua daerah lain dilaporkan cerah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.