KUALA TERENGGANU: Keadaan banjir di Terengganu yang melanda negeri ini sejak kelmarin beransur pulih apabila hanya 442 mangsa dilaporkan terjejas setakat jam 4 petang ini.
Kesemua mangsa daripada 124 keluarga itu berada di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman.
Ia menunjukkan penurunan berbanding hanya 2,557 mangsa daripada 641 keluarga setakat jam 12 tengah hari.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, hanya daerah Kemaman masih terjejas akibat bencana yang melanda negeri ini sejak kelmarin.
Empat PPS yang masih aktif adalah Balai Raya Meraga Beris yang menempatkan 11 mangsa, Sekolah Kebangsaan Kemasik (383 mangsa), Balai Raya Beris Nenas (19 mangsa) dan Balai Raya Padang Kemunting (29 mangsa).
Banjir di daerah Marang pulih sepenuhnya selepas PPS di Dewan Sivik Wakaf Tapai ditutup.
Ia selepas 13 mangsa daripada empat keluarga yang berada di sana dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing secara berperingkat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.