KUALA LUMPUR: Situasi banjir di Kelantan dan Terengganu semakin buruk malam ini dengan peningkatan jumlah mangsa yang terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Keadaan itu berpunca daripada hujan berterusan yang melanda kawasan tersebut sejak beberapa hari lalu.
Di Kelantan, sebanyak 13 PPS telah diaktifkan melibatkan tiga daerah iaitu Tanah Merah, Machang, dan Kuala Krai.
Jumlah keseluruhan mangsa setakat 8.35 malam ini adalah 482 orang daripada 141 keluarga.
Tanah Merah merupakan daerah paling terjejas dengan 10 PPS dibuka yang menempatkan 389 mangsa daripada 118 keluarga.
Antara PPS yang dibuka ialah SK Bendang Nyior, SK Lawang, SK Mukim Kuala Kepok, SK Batang Merbau, SK Lalang Pepuyu, SK Gual Jedok, SK Kelewek, Balai Raya Padang Kijang, SMK Tan Sri Mohamad Yakob dan PPS Kampung Kuala Paku.
Di Machang, dua PPS telah diaktifkan yang menempatkan 52 mangsa daripada 11 keluarga di SJK (C) Pei Hwa dan SK Jenereh. Sementara itu, di Kuala Krai, satu PPS dibuka di SK Chenulang, menempatkan 41 mangsa daripada 12 keluarga.
Selain itu, paras air Sungai Golok di Kampung Jenob mencatatkan bacaan 23.42 meter, yang melepasi paras amaran.
Di Terengganu pula, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 112 orang daripada 37 keluarga setakat 8 malam ini, berbanding hanya 48 orang pada petang tadi.
Kesemua mangsa ditempatkan di empat PPS yang terletak di daerah Hulu Terengganu.
Balai Raya Kampung Kemat menempatkan 38 orang daripada 12 keluarga, Balai Raya Kampung Peneh pula menempatkan 35 orang daripada 14 keluarga, manakala PPS Kampung Lubuk Periuk dan PPS Kampung Cheting masing-masing menempatkan 20 orang daripada lima keluarga dan 19 orang daripada enam keluarga.
Paras air sungai di beberapa lokasi mencatat bacaan melebihi tahap bahaya, antaranya di Jambatan Keruak dan Kampung La di Sungai Besut serta Sungai Berang di Kampung Menerong dan Sungai Telemong di Kuala Ping di daerah Hulu Terengganu.
Selain itu, Sungai Tersat di Kampung Sekayu dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih mencatatkan paras air pada tahap amaran.
Keadaan cuaca di kedua-dua negeri masih hujan dan pihak berkuasa menjangkakan jumlah mangsa banjir akan terus meningkat.
Penduduk di kawasan berisiko diminta untuk sentiasa berjaga-jaga dan bersedia berpindah jika diarahkan. Orang ramai juga dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.