comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Kedah makin buruk, mangsa terus meningkat kepada 6,087 orang

Pesawah dari Kampung Panchor di sawah miliknya yang tenggelam akibat banjir di Kampung Padang Luar, Lubuk Batu Jitra. – Foto: NSTP

ALOR SETAR: Situasi banjir di Kedah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di 36 pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri ini mencatatkan peningkatan kepada 6,087 orang setakat jam 7.30 pagi tadi.

Jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS itu membabitkan 1,942 keluarga di tujuh daerah, meningkat berbanding 5,483 mangsa daripada 1,726 keluarga yang dilaporkan jam 11 malam tadi.

Ini berikutan, tiga lagi PPS dibuka untuk menampung jumlah mangsa yang selain bertambah ketika ini.

Berdasarkan Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, daerah Kota Setar terus mencatatkan peningkatan jumlah mangsa yang berpindah ke 11 PPS iaitu seramai 2,424 mangsa daripada 821 keluarga berbanding 2,305 mangsa daripada 789 keluarga malam tadi.

Selain itu, daerah Kubang Pasu juga meningkat apabila dua lagi PPS dibuka menjadikan 9 PPS aktif di daerah itu yang menempatkan 1,537 mangsa daripada 498 keluarga direkodkan pagi ini, berbanding 1,299 mangsa daripada 399 keluarga di tujuh PPS malam tadi.

Dalam pada itu juga, sebuah lagi PPS dibuka di daerah Pokok Sena menjadikan jumlah keseluruhan lima PPS di daerah itu berbanding empat PPS sebelum ini yang menempatkan seramai 925 mangsa daripada 285 keluarga berbanding 855 mangsa daripada 247 keluarga.

Dalam pada itu, daerah Pendang juga mencatatkan peningkatan mangsa kepada 806 orang daripada 221 keluarga berbanding 706 mangsa dari 192 keluarga selepas sebuah lagi PPS dibuka semalam menjadikan lima PPS beroperasi setakat ini.

Selain itu, daerah Kuala Muda juga meningkat kepada 184 mangsa daripada 61 keluarga berbanding 131 mangsa daripada 50 keluarga malam tadi yang ditempatkan di tiga PPS.

Daerah Bandar Baharu pula kekal seramai 131 mangsa daripada 50 keluarga ditempatkan di sebuah PPS dan daerah Kulim pula kekal kepada 80 mangsa daripada 25 keluarga setakat ini.

Dalam pada itu, berdasarkan laporan melalui laman web Public Infobanjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan enam sungai di negeri ini masing-masing tiga di daerah Kota Setar dan Kubang Pasu masih kekal melepasi tahap bahaya setakat jam 7.30 pagi tadi.

Semua mencatatkan trend menaik menyebabkan bilangan mangsa banjir bertambah di dua daerah itu.

Tiga sungai di daerah Kubang Pasu iaitu Sungai Padang Terap di Kepala Batas, Sungai Bata dan Sungai Laka di Kampung Padang Pasir masih melepasi tahap bahaya ketika ini.

Tiga sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR dan Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya di daerah Kota Setar juga turut melepasi tahap bahaya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini