comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Kedah jejas pesawah, kerugian puluhan ribu

Tanaman padi yang mememasuki fasa akhir sebelum dituai rosak akibat banjir, mengakibatkan petani alami kerugian ribuan ringgit.

Oleh: Kumaran Rajamoney

JITRA: Banjir di Kedah yang menjejaskan lima daerah menjejaskan tanaman padi yang menjadi antara aktiviti ekonomi terpenting di negeri itu.

Tinjauan Buletin TV3 di Kampung Changkat di sini mendapati, hampir semua kawasan jelapang padi di daerah Kubang Pasu ditenggelami air.

Keadaan itu mengakibatkan tanaman padi yang kini memasuki fasa akhir sebelum tuaian, rosak sekaligus merugikan petani.

Mohd Rizuan Hatt, 41 berkata, tempoh pokok padi tenggelam dalam air sudah melepasi empat hari.

 

“Kalau tengok pada keadaan pokok padi, nampaknya tipis sikit sebab ia sudah tenggelam. Kalau keadaan hujan berterusan selama sehari dua ini, padi di sawah saya tidak boleh dituai.

“Ini kali kedua saya berhadapan situasi banjir seperti ini. Soal kerugian itu, memang nilainya mencecahan puluhan ribu ringgit,” katanya.

Turut senada, Azizul Muhammad Amin, 50 yang tidak meletakkan harapan bagi memperoleh hasil padi bagi musim penanaman padi kali ini.

Justeru, petani mengharapkan pihak berwajib dapat memperhalusi kesan kemusnahan yang dihadapi dan mengambil langkah sewajarnya bagi mengurangkan beban petani.

 

“Padi ini sepatutnya dituai dalam minggu ini. Bila kejadian air bah begini, sudah tentu kami berhadapan kerugian besar. Memang saya tidak letakkan harapan untuk menikmati hasil bagi musim penananam kali ni,” jelasnya.

Untuk rekod, banjir di Kedah terus memburuk dengan jumlah mangsa meningkat kepada hampir 4,000 orang menjelang malam tadi.

Ia membabitkan 814 buah keluarga yang ditempatkan di 22 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Kulim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini