comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Kedah: 494 keluarga dipindahkan ke PPS

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang (dua dari kiri) ketika melihat aset bot sebagai persediaan menghadapi air pasang besar yang dijangka berlaku esok dan banjir kilat. – FOTO NSTP

ALOR SETAR: Banjir di Kedah bertambah buruk dengan bilangan mangsa dipindahkan di empat daerah yang terjejas meningkat kepada 1,696 penduduk sehingga petang semalam.

Semua mangsa membabitkan 494 keluarga itu kini ditempatkan di 12 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka, dengan Baling merekodkan bilangan mangsa paling ramai.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata berdasarkan rekod sehingga jam 4 petang semalam, empat PPS dibuka di Baling dengan di Surau An Nur sahaja menempatkan 305 mangsa daripada 73 keluarga.

Tiga lagi PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Iboi menempatkan 103 mangsa daripada 40 keluarga, diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai dengan 139 mangsa daripada 44 keluarga dan SK Kampung Keda dengan 144 mangsa daripada 40 keluarga.

Bagi daerah Pokok Sena pula, tiga PPS dibuka iaitu di SK Bukit Hijau yang menempatkan 249 mangsa daripada 68 keluarga, diikuti Maahad Tarbiyah Derang dengan 148 mangsa daripada 40 keluarga dan SK Permatang Limau yang menempatkan 15 mangsa daripada empat keluarga.

“Di Kota Setar, PPS SK Taman Aman menempatkan 267 mangsa daripada 95 keluarga, manakala SMK Kepala Batas menempatkan 41 mangsa daripada 16 keluarga.

“Di Kubang Pasu, PPS di Dewan Kampung Tradisi ditutup sepenuhnya jam 1 petang, namun 83 mangsa daripada 23 keluarga masih ditempatkan di PPS di SMK Changlun, manakala PPS SK Malau menempatkan 143 mangsa daripada 33 keluarga.

“PPS di Dewan PPK Lubuk Batu pula menempatkan 59 mangsa daripada 22 keluarga,” katanya.

Loading...
Terkini