comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Kedah: 197 penduduk terjejas

Fisol melawat mangsa banjir di PPS Dewan Kampung Tradisi, hari ini. Foto NSTP

ALOR SETAR: Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 197 orang daripada 59 keluarga yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Ini berikutan sebuah lagi PPS dibuka di Dewan Taman Seri Bagan daerah Kota Setar hari ini yang membabitkan 20 mangsa daripada lapan keluarga dari Taman Seri Bagan.

Setakat jam 9 malam ini, dua PPS di Changlun iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun menempatkan seramai 150 mangsa daripada 43 keluarga, manakala PPS di Dewan Kampung Tradisi membabitkan seramai 27 mangsa daripada lapan keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata PPS di Dewan Taman Seri Bagan dibuka pada jam 7 petang tadi.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, seramai tiga mangsa ialah lelaki dewasa, 11 wanita dewasa dan enam warga emas.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh, berkata polis akan melakukan rondaan lebih kerap di kawasan penempatan penduduk yang berpindah ke PPS.

Katanya, Unit Ronda Bermotosikal akan memasuki kampung bagi memastikan tidak berlaku kes pecah rumah dan kecurian harta benda.

Beliau berkata, mangsa banjir tidak perlu bimbang untuk meninggalkan kediaman kerana polis melakukan rondaan.

Loading...
Terkini