JOHOR BAHRU: Banjir di Johor pulih sepenuhnya selepas sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang terakhir beroperasi di daerah Segamat, ditutup petang ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan, memaklumkan PPS Balai Raya Kampung Batu Badak yang menempatkan 23 penduduk daripada tujuh keluarga itu ditutup pada 5 petang.
Bagaimanapun, menurut jawatankuasa itu, Jalan Kampung Orang Asli Peta di Mersing masih terputus hubungan.
“Laluan alternatif yang boleh digunakan adalah melalui Ladang Mutiara-Paloh,” menurut jawatankuasa itu.
Mersing dan Segamat dilanda banjir bermula 26 Dis lepas dengan tiga PPS dibuka bagi menempatkan 137 mangsa daripada 39 keluarga. – BERNAMA