comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor kian pulih, 338 orang masih berada di 6 PPS

5 PPS sudah diarahkan tutup iaitu SJK(C) New Kota, SK Laksamana, Dewan Muafakat Pasak Indah, Johor Lama dan Dewan Kampung Baru, Sungai Mas, Bandar Penawar, Pengerang.

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor beransur pulih apabila jumlah mangsa terus menunjukkan tren penurunan apabila hanya 338 orang daripada 92 keluarga masih berada di enam pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa di Mersing kini mencatatkan penurunan kepada 170 orang daripada 45 keluarga di dua PPS.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi pula seramai 84 orang daripada 19 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS manakala di Kluang, 84 mangsa banjir daripada 28 keluarga di sebuah PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, pemantauan berterusan masih dijalankan di Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi yang masih dibuka hanya untuk kegunaan kenderaan berat sahaja.

Jabatan Metrologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga hari ini di Segamat, Kluang, Mersing dan Johor Bahru manakala, amaran ribut petir pula dikeluarkan di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula menunjukkan paras Sungai Kepala Orang di Kota Tinggi sudah melepasi aras bahaya dan terdapat empat sungai di negeri ini yang melepasi aras amaran iaitu Sungai Lenik di Batu Pahat, Sungai Kahang di Kluang, Sungai Johor di Kulai dan Sungai Tiram di Johor Bahru.

Bagi Sungai Muar di Segamat, Sungai Sembrong di Batu Pahat, Sungai Siam di Kulai, Sungai Sedili Besar dan Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Skudai di Johor Bahru dan Sungai Jemaluang di Mersing pula melepasi aras waspada.

Sehingga jam 8 pagi tadi, semua daerah di Johor dilaporkan hujan.

Loading...
Terkini