JOHOR BAHRU: Situasi banjir di Johor kembali buruk apabila kini lima daerah terjejas dengan Kulai menjadi daerah terbaharu yang membuka pusat pemindahan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir setakat jam 4 petang tadi.
Selain Kulai, hari ini, Segamat dan Johor Bahru kembali membuka PPS selepas ada mangsa yang perlu dipindahkan, manakala Kota Tinggi yang semalam menunjukkan situasi hampir pulih juga membuka semula sembilan PPS.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa banjir di lima daerah terjejas di Johor kini mencecah 851 mangsa daripada 241 keluarga yang ditempatkan di 26 PPS.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah itu meningkat berbanding 503 mangsa daripada 134 keluarga yang ditempatkan di 15 PPS di empat daerah pada jam 2 petang.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu tidak termasuk mangsa banjir di Johor Bahru yang ditempatkan di sembilan PPS di daerah itu memandangkan data masih dikemaskini pihak JBP Daerah.
“Kota Tinggi terus menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 583 mangsa daripada 149 keluarga kini ditempatkan di 12 PPS.
“Kluang juga mencatatkan peningkatan apabila sebuah lagi PPS dibuka menjadikan tiga PPS yang beroperasi di daerah itu kini menempatkan 197 mangsa daripada 73 keluarga.
“Kulai yang baharu terjejas banjir kini menempatkan 51 mangsa daripada 14 keluarga di sebuah PPS, manakala satu PPS yang beroperasi di Segamat kekal menempatkan 20 orang mangsa daripada lima keluarga” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
| ARTIKEL BERKAITAN
- [VIDEO] Banjir di Johor kembali buruk akibat hujan berterusan
- RM1.9 juta nilai kerosakan masjid, surau akibat banjir Johor
- Sultan Johor harap Kerajaan Persekutuan salur peruntukan khas baiki kerosakan akibat banjir
- [VIDEO] Banjir di Johor kembali buruk akibat hujan berterusan
- Banjir di Johor, pasukan “Boatman” IPD Kluang mula sibuk
- [VIDEO] Air mula naik di bandar Kota Tinggi