comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor dipantau, sekolah terjejas akan dibuka secepat mungkin – KPM

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau keadaan banjir di Johor, dan tidak menolak kemungkinan untuk membuka sekolah terjejas secepat mungkin, jika keadaan kembali pulih.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata, setakat ini, ada tiga sekolah tidak dapat beroperasi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Mendapat, SK Tanjung Semberong dan SK Sri Nasib Baik, yang kesemuanya terletak di Batu Pahat, Johor.

Beliau berkata, KPM akan memastikan aspek keselamatan dititikberatkan sebelum ketiga-tiga sekolah terbabit dibuka semula.

“Berhubung kes (banjir) di Johor kita sudah tahu keadaannya. Kami akan pastikan keselamatan, pastikan sekolah itu dibersihkan dan pastikan perabot disediakan sebelum mulakan sesi persekolahan.

“Mengenai bantuan susulan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sudah salurkan dan KPM juga akan pantau serta pastikan sekolah itu (terjejas) bersedia sebelum dibuka semula,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) PJS1, di sini.

Terdahulu, Lim meluangkan masa bertemu 20 murid tahun satu hingga enam dan beramah mesra dengan ibu bapa yang hadir di sekolah berkenaan.

Beliau turut menyempurnakan sesi penyampaian cenderahati kepada murid SJKT ke-100 di Selangor itu.

Sesi persekolahan 2023/2024 di semua sekolah di Kedah, Kelantan dan Terengganu bermula seperti dijadualkan semalam.

Bagaimanapun, beberapa sekolah di Johor dilaporkan tidak dapat memulakan sesi persekolahan semalam, kerana masih terjejas banjir.

Loading...
Terkini