Tumpuan :
Nasional

Banjir di Johor Bahru pulih sepenuhnya

Foto ihsan APM

JOHOR BAHRU: Banjir di Johor Bahru pulih sepenuhnya selepas pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini yang menempatkan 43 penduduk daripada 12 keluarga ditutup jam 3 petang tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata ini menjadikan jumlah mangsa banjir di negeri ini setakat jam 4 petang tadi berkurangan daripada 1,197 mangsa (310 keluarga) kepada 1,149 orang (297 keluarga) di 11 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata Kota Tinggi masih kekal menjadi daerah paling terjejas akibat banjir apabila jumlah mangsa seramai 793 orang daripada 197 keluarga masih ditempatkan di lapan PPS.

“Di Mersing pula, seramai 272 penduduk daripada 72 keluarga masih ditempatkan di dua PPS, manakala di Kluang seramai 84 penduduk daripada 28 keluarga masih ditempatkan di sebuah PPS.

“PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng di sini, ditutup sepenuhnya,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng di Johor Bahru, ditutup. – Foto ihsan APM

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, hanya Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi terjejas akibat banjir dan hanya dibuka untuk kenderaan berat.

Jabatan Metrologi Malaysia (Met Malaysia) pula mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada sehingga esok di Segamat, Kluang, Mersing dan Johor Bahru.

Amaran ribut petir pula dikeluarkan di Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.

Laporan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan paras Sungai Kahang di Kluang sudah melepasi aras bahaya, manakala Sungai Muar di Segamat; Sungai Lenik dan Sungai Sembrong di Batu Pahat; Sungai Johor dan Sungai Pontian Besar di Kulai serta Sungai Sedili Besar di Kota Tinggi melepasi paras waspada.

Loading...
Terkini