Tumpuan :
Nasional

Banjir di Jerantut pula

Foto: JPS Pahang/Facebook

KUANTAN: Enam pusat penempatan sementara (PPS) di daerah Kuantan dan Jerantut masih menempatkan seramai 339 mangsa daripada 103 keluarga setakat jam 4 petang, hari ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Pahang memaklumkan, Jerantut daerah terbaharu yang merekodkan pemindahan mangsa banjir, hari ini.

Ini membabitkan 12 mangsa daripada lima keluarga yang dipindahkan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Pusat Penyelidikan Pertanian Tun Razak, Jerantut.

Foto: JPS Pahang/Facebook

Di Kuantan, 327 mangsa daripada 98 keluarga yang berada di lima PPS.

Pada jam 12 tengah hari, empat PPS di Pekan ditutup selepas 119 orang daripada 35 keluarga pulang.

Sementara itu, data dalam laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula, dua sungai di Pahang masih mencatat bacaan melepasi paras bahaya, iaitu Sungai Pahang di Paloh Hinai, Pekan, dan Sungai Keratong di Jambatan Bahau Keratong, Rompin setakat jam 4 petang, hari ini.

Paras air di lima sungai pula melepasi tahap amaran, iaitu Sungai Pahang di Kuala Krau, Temerloh; Sungai Jempol di Rancangan FELDA Jengka, Maran.

Selain itu, Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran serta Sungai Lepar di Jambatan Gelugor dan Sungai Belat di Seri Damai di Kuantan.
Sungai Tembeling di Kampung Merting dan Sungai Pahang di Sungai Yap, Jerantut; Sungai Pahang Lubuk Pasu, Temerloh; Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera dan Sungai Pahang di Kampung Chenor, Maran merekodkan paras air melepasi tahap waspada. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini