comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Hulu Langat: Trauma kejadian 2021, penduduk ambil langkah berjaga-jaga

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

HULU LANGAT: Hujan berterusan sejak petang semalam sehingga malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Hulu Langat, Selangor dinaiki air.

Antara kawasan terjejas,  Batu 16, Kampung Jawa dan juga Kampung Sungai Serai.

Tinjauan Buletin TV3 pagi tadi mendapati, kawasan yang terjejas misalnya di Kampung Sungai Serai telah pulih sepenuhnya dan penduduk mengambil kesempatan membersihkan kediaman.

Menurut Zainal Abdin Kosmas, penduduk masih trauma dengan kejadian banjir lumpur serta kepala air di kawasan itu pada tahun 2021.

“Trauma yang itu sebenarnya bila air naik, yang itu paling teruk, orang kampung harap jangan jadi macam itu lagi,” katanya.

Zurasman Shahrin pula berkata, sekiranya hujan berterusan dan paras sungai naik  dengan mendadak, mereka mengambil langkah berjaga-jaga lebih awal.

“Memang trauma betul, sebab semalam bila dah dapat daripada Facebook diberitahu air daripada atas semua, Sungai Lui dah deras semua kita dah jadi dah gelisa,  kita tengok semalam air naik pun laju macam air sungai kepala air,” katanya ketika ditemui Buletin TV3.

Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Datuk Johan Abdul Aziz memaklumkan sistem amaran awal banjir yang dipasang di beberapa kawasan “hotspot” banyak membantu masyarakat sekitar peka dengan keadaan sekeliling.

ADUN Dusun Tua, Datuk Jihan Abdul Aziz bersama mangsa banjir di Hulu Langat.

“Siren ini bunyi lepas itu ada pengumuman itu pun kita viralkan jadi cepat orang tahu, Dusun Tua dah terkenal dengan banjir, jadi kita pun dalam ‘mode standby’ bagi musim tengkujuh hujung tahun ini,” ujarnya.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), setakat jam 1 tengah hari, hanya satu pusat pemindahan sementara di buka di kawasan Hulu Langat dengan menempatkan 15 keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini