GUA MUSANG: Banjir gelombang kedua bermula pagi tadi, menyebabkan penduduk di beberapa perkampungan di daerah ini terputus hubungan.
Antara kawasan yang terbabit adalah Felda Chiku 7, Kampung Pasir Linggi, Pos Lebir, Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, Kampung Pulai, RKT Paloh 3, serta laluan masuk ke Felda Aring di sini.
Kebanyakan jalan utama menghubungkan perkampungan itu ditenggelami banjir sehingga menyukarkan penduduk keluar atau menghantar anak ke sekolah pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Hasan Saleh, 54, berkata, lebih 1,000 penduduk di kawasan itu kini terputus hubungan apabila air melimpahi jambatan.
Katanya, limpahan Sungai Chalil setinggi kira-kira satu meter turut menenggelamkan jalan sepanjang kira-kira 200 meter iaitu laluan utama mereka untuk keluar masuk ke tanah rancangan berkenaan.
“Sehingga kini laluan masih digenangi air dan menyebabkan penduduk tidak dapat keluar daripada penempatan dan menghantar anak ke sekolah.
“Keadaan masih hujan. Kami juga bimbang paras air sungai akan terus meningkat jika hujan tidak berhenti,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Penghulu Kampung Pasir Linggi, Harun Ismail berkata, air Sungai Linggi sudah melimpahi jalan susulan hujan berterusan sejak jam 4 petang semalam.
Katanya lebih 400 penduduk Orang Asli kaum Mandriq dan Bateq kini terputus hubungan dan tidak dapat keluar daripada penempatan mereka.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.