comscore
Tumpuan :
Nasional

Banjir di Changlun, 80 mangsa dipindahkan ke 1 PPS

FOTO: NSTP

CHANGLUN: Seramai 80 mangsa banjir membabitkan 26 keluarga dari tiga perkampungan, di sini, berlindung di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka awal pagi tadi.

Mereka ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Changlun selepas banjir kilat melanda susulan hujan lebat, malam tadi.

PPS itu pernah dibuka pada 27 September apabila kawasan sama ditenggelami banjir, dan ditutup Selasa lalu setelah air surut sepenuhnya.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain, berkata PPS itu dibuka semula pada jam 2.30 pagi tadi bagi menempatkan mangsa banjir dari Kampung Nangmah, Kampung Belakang Sekolah Dato Wan Kemara dan Kampung Kubang Kayu.

Setakat ini, beliau berkata, mangsa banjir itu membabitkan 21 lelaki dewasa, 32 wanita dewasa, 27 kanak-kanak dan empat warga emas.

“Operasi pemindahan dilakukan sejak tengah malam tadi selepas kawasan itu dinaiki air akibat hujan lebat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Muhammad Suhaimi berkata, antara agensi membantu operasi pemindahan serta penempatan mangsa banjir itu ialah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kubang Pasu, APM Daerah Kubang Pasu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, menurut maklumat laman sesawang Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), air empat sungai di Kedah mencatat bacaan melepasi paras bahaya, setakat jam 8 pagi ini.

Sungai terbabit ialah Sungai Laka di Kampung Padang Pasir di daerah Kubang Pasu, dan Sungai Anak Bukit di Taman Aman, Sungai Kedah di Jambatan Lebuh Raya serta Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar.

Air Sungai Sari di Kilang Gula dan Sungai Perik di Kampung Perik, daerah Padang Terap pula melepasi paras amaran.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini