KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di tiga negeri sedikit meningkat pagi ini, dengan 44,994 mangsa direkod berlindung di pusat perlindungan sementara (PPS).
Berdasarkan rekod Agensi Pengurusan Bencana Negara sehingga jam 6 pagi ini, Johor terus merekodkan angka tertinggi dengan 44,442 mangsa membabitkan 12,538 keluarga.
Daripada lima daerah yang terkesan, Batu Pahat terus mencatat bilangan mangsa tertinggi dengan 39,242 orang daripada 10,912 keluarga yang kini ditempatkan di 114 PPS.
Empat daerah lain membabitkan Mersing dengan 47 mangsa di tiga PPS, diikuti Muar (2,785 mangsa di 19 PPS), Segamat (706 mangsa di 19 PPS) dan Tangkak (1,662 mangsa di 17 PPS).
Di Melaka pula, seramai 380 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di lima PPS yang dibuka di daerah Jasin, manakala 172 mangsa daripada 61 keluarga berada di dua PPS yang masih beroperasi di daerah Rompin di Pahang.