Oleh: Nini Shahira Anuar
DENGKIL: Seramai 495 mangsa banjir ditempatkan di lima Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di sini, setakat jam 5 petang, hari ini.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil, Mohamad Saifuddin bin Mohamad Hussin, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada Ahad pagi melibatkan kawasan Jenderam Hilir.
“Hasil dari semakan kami, banjir ini disebabkan limpahan air sungai yang terlalu banyak daripada Sungai Hulu Langat” katanya kepada Buletin TV3.
Menurutnya lagi, bagi kawasan Dengkil, dua kawasan terlibat banjir iaitu Kampung Seri Tanjung dan Kampung Cemperai dan kesemua mangsa banjir juga telah dipindahkan ke lima buah PPS di Dengkil.
Mengulas lanjut mengenai mangsa banjir di PPS, pihaknya menjangkakan akan berlaku peningkatan jumlah mangsa banjir berikutan hujan yang berterusan berlaku pada sebelah petang sehingga malam.
“Buat masa sekarang ini, monsun timur laut baru sahaja bermula, kalau kita tengok setiap hari akan ada hujan pada waktu petang jadi kemungkinan akan bertambah dari segi jumlah mangsa banjir ini” katanya.
Tambahnya lagi pihaknya telah melakukan persediaan sejak 2 bulan lalu dan juga telah wujudkan dua Pos Kawalan Hadapan (PKH) di Jenderam Hilir, dan kawasan Dengkil bersama aset-aset JBPM bagi melakukan penyelamatan dengan cepat.
Menurut penduduk Mohd Rizal, 44 setiap tahun pasti akan berlaku banjir di kawasan tempat tinggalnya iaitu di Kampung Cemperai, Dengkil yang menyebabkan beliau terpaksa berpindah ke rumah saudara dan menanggung kerugian kerosakan perabot dan kereta.
“Harap pihak berkuasa cuba fikir langkah untuk atasi masalah banjir yang berlaku pada setiap tahun di Kampung Cemperai kerana kesian penduduk kampung terpaksa menanggung kerugian kerosakan dan macam-macam lagi” katanya.