Tumpuan :
Nasional

Banjir: Cuti agensi KPKT, bomba dibekukan serta-merta – Kor Ming

KUALA LUMPUR: Cuti beberapa agensi di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dibekukan serta-merta susulan bencana banjir yang melanda di beberapa negeri ketika ini.

Menterinya, Nga Kor Ming, berkata KPKT antara barisan hadapan yang turut terbabit dalam bantuan mangsa banjir.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab, saya mengumumkan bahawa cuti semua anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dibekukan segera.

“Turut dibekukan ialah cuti bagi Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN),” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Media KPKT, di sini, semalam.

Menurutnya, pihak SWCorp bersama JPSPN kini sedang bersiap siaga untuk digerakkan dalam masa terdekat bagi memberi bantuan di kawasan yang terjejas banjir.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan cuti semua anggota Jemaah Menteri dibekukan susulan bencana banjir yang melanda negara ketika ini.

Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, semua menteri dan timbalan menteri juga diarahkan turun padang ke kawasan bencana.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini